Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Pelaksanaan KBAT di Sekolah
Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 -2025 merupakan satu pelan strategik
jangka panjang yang mensasarkan kualiti pendidikan Negara dipertingkatkan dalam
tempoh 13 tahun dengan pelaksanaan tranformasi pendidikan secara menyeluruh.
Lima (5) aspirasi sistem dan enam (6) aspirasi murid telah dikenalpasti sebagai
pemangkin untuk memacu kecemerlangan pendidikan Negara di masa hadapan. Antara
keberhasilan daripada pelaksanaan transformasi pendidikan ialah Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk meletakkan Negara dalam kelompok
sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam
tempoh 15 tahun.
Bagi
mencapai hasrat tersebut, semua pihak perlu saling menyokong serta memainkan
peranan masing-masing. Guru-guru khususnya perlu melengkapkan diri dengan
pengetahuan dan kemahiran serta amalan-amalan baru pengajaran dan pembelajaran
yang relevan dengan perkembangan dan keperluan abad ke-21, kemahiran berfikir
yang merentas semua disiplin ilmu dalam kalangan murid perlu diberi keutamaan.
Kemahiran berfikir guru dan murid terutama dalam konteks Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi (KBAT) merupakan perkara keperluan atau keutamaan dalam menentukan
kejayaan transformasi pendidikan seperti yang digariskan dalam PPPM 2013-2025.
Di
bawah PPPM, guru-guru diberi sokongan dalam bentuk Pembangunan Profesionalisme
Berterusan (CPD), Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) dan bantuan daripada SISC+
untuk mengaplikasi KBAT dalam PdP. Perkongsian dalam Professional Learning
Community (PLC) juga merupakan salah satu cara bagaimana guru boleh
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tentang KBAT, selain pembelajaran akses
kendiri. Pentadbir sekolah dan ibu bapa juga diberi sokongan untuk membantu
mengaplikasi KBAT melalui hebahan media dan sesi interaksi dasar-dasar
Kementerian
Persekitaran Pembelajaran KBAT
1.
Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk inkuiri, penyelesaian
masalah, penyelidikan dan berasaskan projek
2.
Pelbagai pendekatan dan aktiviti dalam bilik darjah. Guru dan murid menggunakan
alat berfikir seperti peta pemikiran dan penyoalan aras tinggi semasa PdP
3.
Pengajaran dan Pembelajaran akan berubah menjadi Pembelajaran dan
Pemudahcaraan:
§
Guru berperanan mengajar dan murid belajar semasa melaksanakan aktiviti aras
pemikiran rendah; dan
§
Apabila aras pemikiran meningkat ke aras yang lebih tinggi, guru berperanan
sebagai pemudah cara semasa murid belajar
Ciri-ciri Murid KBAT
Murid
yang suka bertanya dan boleh memberi cadangan penyelesaian berdasarkan
pengetahuan yang sedia ada. Penggunaan bahan rangsangan seperti soalan aras
tinggi dapat menggalakkan murid berfikir dengan lebih mendalam, membuat
kesimpulan dan refleksi, seterusnya mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam
situasi sebenar.
Ciri-ciri Guru Yang Menggalakkan KBAT
Guru
sebagai pemudah cara yang melaksanakan pelbagai aktiviti berpusatkan murid,
menyediakan aktiviti yang dapat mencabar minda murid dan penyoalan aras tinggi
secara berperingkat bagi mendorong murid memberi pandangan serta membuat
penyelidikan dan membuat penerokaan secara terancang dan berstruktur.
Cadangan Bilik Darjah KBAT
Bilik
Darjah merujuk kepada di mana berlakunya pengajaran dan pembelajaran. Murid
juga boleh dipupuk dengan KBAT dalam situasi sebenar seperti samasa lawatan dan
projek atau kerja lapangan. Suasana bilik darjah mestilah ceria dengan paparan
hasil murid di dalam bilik darjah dan aktif dalam pembelajaran. Susun atur bilik
darjah berpusatkan murid di mana murid duduk dalam kumpulan yang membolehkan
murid mudah berinteraksi dan berkolaborasi. Guru menggunakan bahan sokongan
yang dapat meningkatkan pemikiran murid.