COUNTDOWN TO UJIAN PENILAIAN SEKOLAH RENDAH 2016, at 08:00:

Hari Jam Minit Saat

KURIKULUM



Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Pelaksanaan KBAT di Sekolah

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 -2025 merupakan satu pelan strategik jangka panjang yang mensasarkan kualiti pendidikan Negara dipertingkatkan dalam tempoh 13 tahun dengan pelaksanaan tranformasi pendidikan secara menyeluruh. Lima (5) aspirasi sistem dan enam (6) aspirasi murid telah dikenalpasti sebagai pemangkin untuk memacu kecemerlangan pendidikan Negara di masa hadapan. Antara keberhasilan daripada pelaksanaan transformasi pendidikan ialah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk meletakkan Negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun.

Bagi mencapai hasrat tersebut, semua pihak perlu saling menyokong serta memainkan peranan masing-masing. Guru-guru khususnya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran serta amalan-amalan baru pengajaran dan pembelajaran yang relevan dengan perkembangan dan keperluan abad ke-21, kemahiran berfikir yang merentas semua disiplin ilmu dalam kalangan murid perlu diberi keutamaan. Kemahiran berfikir guru dan murid terutama dalam konteks Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan perkara keperluan atau keutamaan dalam menentukan kejayaan transformasi pendidikan seperti yang digariskan dalam PPPM 2013-2025.

Di bawah PPPM, guru-guru diberi sokongan dalam bentuk Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD), Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) dan bantuan daripada SISC+ untuk mengaplikasi KBAT dalam PdP. Perkongsian dalam Professional Learning Community (PLC) juga merupakan salah satu cara bagaimana guru boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tentang KBAT, selain pembelajaran akses kendiri. Pentadbir sekolah dan ibu bapa juga diberi sokongan untuk membantu mengaplikasi KBAT melalui hebahan media dan sesi interaksi dasar-dasar Kementerian

Persekitaran Pembelajaran KBAT

1. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk inkuiri, penyelesaian masalah, penyelidikan dan berasaskan projek
2. Pelbagai pendekatan dan aktiviti dalam bilik darjah. Guru dan murid menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran dan penyoalan aras tinggi semasa PdP
3. Pengajaran dan Pembelajaran akan berubah menjadi Pembelajaran dan Pemudahcaraan:
§ Guru berperanan mengajar dan murid belajar semasa melaksanakan aktiviti aras pemikiran rendah; dan
§ Apabila aras pemikiran meningkat ke aras yang lebih tinggi, guru berperanan sebagai pemudah cara semasa murid belajar

Ciri-ciri Murid KBAT

Murid yang suka bertanya dan boleh memberi cadangan penyelesaian berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. Penggunaan bahan rangsangan seperti soalan aras tinggi dapat menggalakkan murid berfikir dengan lebih mendalam, membuat kesimpulan dan refleksi, seterusnya mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi sebenar.

Ciri-ciri Guru Yang Menggalakkan KBAT

Guru sebagai pemudah cara yang melaksanakan pelbagai aktiviti berpusatkan murid, menyediakan aktiviti yang dapat mencabar minda murid dan penyoalan aras tinggi secara berperingkat bagi mendorong murid memberi pandangan serta membuat penyelidikan dan membuat penerokaan secara terancang dan berstruktur.

Cadangan Bilik Darjah KBAT


Bilik Darjah merujuk kepada di mana berlakunya pengajaran dan pembelajaran. Murid juga boleh dipupuk dengan KBAT dalam situasi sebenar seperti samasa lawatan dan projek atau kerja lapangan. Suasana bilik darjah mestilah ceria dengan paparan hasil murid di dalam bilik darjah dan aktif dalam pembelajaran. Susun atur bilik darjah berpusatkan murid di mana murid duduk dalam kumpulan yang membolehkan murid mudah berinteraksi dan berkolaborasi. Guru menggunakan bahan sokongan yang dapat meningkatkan pemikiran murid.